Wednesday, August 20, 2014

SEJARAH MERDEKA
 
TANGGAL 31 Ogos diabadikan saban tahun sebagai tarikh penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara. Namun, slogan, laungan merdeka dan cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika rakyat tidak menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai kemerdekaan yang sebenarnya.
Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan merdeka. Ia merupakan penghayatan dan pemahaman maksud serta kepentingan mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui erti kemerdekaan yang sebenar. Erti kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mahu melihat berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Kemerdekaan telah mengangkat maruah dan kedaulatan negara. Ia adalah sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Rakyat Malaysia yang cintakan negara wajar memelihara nama baik negara di mana sahaja mereka berada. Dari sudut keselamatan, maruah dan kedaulatan negara bukan sahaja dipikul oleh anggota keselamatan tetapi turut dipikul bersama oleh seluruh rakyat.
Kemerdekaan ini bukanlah takdir semata-mata tetapi adalah hasil usaha pejuang dan pemimpin terdahulu. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama menjaga maruah serta kedaulatan negara. Sematkan juga di dalam diri semangat cintakan negara serta sentiasa menjaga dan menjulang nama baik Malaysia walau di mana kita berada.
 
  
MENELUSURI JEJAK KEMERDEKAAN
 
  
Menyorot kembali sejarah kemerdekaan negara, Kongres Melayu pertama yang diadakan pada 1 hingga 4 Mac 1946 telah menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Kebangsaan (UMNO). Usaha ini memantapkan perjuangan dan pembentukan negara dengan bangsa yang berdaulat.
Walaupun Tanah Melayu diisytiharkan darurat pada 1948 akibat pemberontakan komunis, namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat para pejuang kemerdekaan tanah air tercinta.
Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperolehi kemerdekaan Malaya. Walaupun percubaan sulung itu tidak berjaya, kemerdekaan akhirnya tercapai setelah melalui peristiwa seperti kronologi berikut:
 
  
KRONOLOGI MENCAPAI KEMERDEKAAN
 
  
27 Julai 1955
Pilihan raya Persekutuan pertama diadakan. (UMNO telah mengadakan kerjasama dengan MCA (yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949) dan MIC (ditubuhkan pada Ogos 1946) membentuk Parti Perikatan untuk menghadapi pilihan raya tersebut.
1O Ogos 1955
Tunku Abdul Rahman membentuk Kabinet pertama dianggotai oleh 6 wakil Melayu, 3 wakil Cina dan 2 wakil India.
18 Januari – 6 Februari 1956
Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di London.
8 Februari 1956
Perjanjian Merdeka telah dimeterai dengan menetapkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
20 Februari 1956
Tunku Abdul Rahman telah membuat Pengisytiharan Kemerdekaan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka
21 Mac 1956
Suruhanjaya Perlembagaan Reid, sebuah suruhanjaya bebas telah dibentuk untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
28 – 29 Disember 1956
Tunku Abdul Rahman dicabar supaya menyelesaikan isu pemberontakan komunis. Lalu, Rundingan Baling diadakan pada 28-29 Disember 1956 bersama Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM).
30 Ogos 1957
Detik 12.00 tengah malam, bendera Union Jack diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad dan diganti dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu tanda negara mencapai kemerdekaan.
31 Ogos 1957
Pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Antara perkara paling penting yang dapat dikutip dan dijadikan teladan serta dihayati di akhir perjuangan kemerdekaan ini adalah wujudnya persefahaman di antara tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Persefahaman ini telah menjadi resepi utama perpaduan dalam kalangan penduduk di Malaysia. Semoga persefahaman ini berkekalan dan perpaduan terus mekar bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan Malaysia.

Wednesday, August 13, 2014

Apa Itu Grafik Designer?


"Ramai lagi yang belum tahu apa itu grafik designer, di sini hafiz ingin berkongsi serba sedikit apa itu grafik designer."

Grafik merupakan antara media yang paling utama dan popular digunakan bagi memperlihatkan keterampilan sesebuah aplikasi multimedia. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, grafik membawa maksud ‘perkara berkenaan lukisan atau ukiran’. Dalam hal ini, penggunaan grafik dalam sesuatu persembahan maklumat berkomputer adalah bukan hanya berperanan untuk menonjolkan keindahan atau kecanggihan senibina sesebuah program multimedia tetapi juga berperanan sebagai suatu sumber penyampaian sesuatu maklumat yang amat berkesan. 


Grafik juga memberikan maksud penggunaan visual untuk menerangkan konsep yang tidak dapat atau sukar diterangkan oleh teks. Ia mampu menambah daya tarikan kepada sesuatu paparan atau persembahan. Grafik juga dapat mempercepatkan penyampaian sesuatu maklumat dan dapat memberikan penerangan yang jelas, tepat dan konsisten antara individu yang berbeza.

Grafik dikatakan sebagai sumber penyampai maklumat yang amat berkesan kerana segala bentuk mesej yang diterima oleh manusia melalui penglihatan mereka dapat diterima secara terperinci dan ianya mempunyai daya ketahanan serta daya ingatan yang tinggi.

Grafik berkomputer pula merujuk kepada sebarang imej yang dihasilkan menggunakan sebarang jenis komputer (PC, Macintosh(MAC), Silicon Graphicsdan sebagainya). Imej berkomputer ini boleh merujuk kepada imej yang mudah seperti garisan atau bulatan ataupun yang lebih kompleks seperti fractal iaitu imej kompleks yang dihasilkan oleh komputer dari formula atau kod pengaturcaraan yang tertentu.


Kepentingan Grafik 

Grafik sangat penting kerana paparan visual grafik mampu menyampaikan sesuatu maklumat dengan lebih berkesan, ringkas dan mudah difahami. Grafik seperti lukisan, gambarfoto atau carta misalnya amat membantu di dalam menyampaikan sesuatu maklumat dengan lebih pantas dan efektif. Visualisasi merupakan antara proses yang amat penting dalam komunikasi maklumat dan grafik boleh digunakan untuk tujuan ini bagi meningkatkan penekanan terhadap sesuatu maklumat. Ia juga berperanan bagi menarik perhatian pengguna, mengilustrasikan sesebuah konsep dan juga bertindak sebagai latar belakang bagi sesuatu konsep. Penggunaan grafik di dalam kebanyakan halaman web mampu menjadikan sesebuah halaman internet itu menjadi lebih ceria, menarik dan menyegarkan mata memandang serta menghidupkan lagi suasana pencarian maklumat di sesebuah laman web.


Tuesday, August 12, 2014

Just Intro

Assalamualaikum dan terima kasih kepada blogger2 yang sudi membuka dan membaca page ini. Nama saya Hafiz Afendi ataupun lebih dikenali sebagai Hafiz sekarang berumur 19 tahun, belajar dekat Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor. Mengambil kos Diploma Rekabentuk Grafik, mesti kamu semua tertanya-tanya apa itu Grafik. Pada mulanya hafiz sendiri pun tak tahu apa itu Grafik, main ambil je yang hafiz tahu hanya melukis je(hari2 melukis dah naik jemu). Insyaallah melalui media ini hafiz cuba terangkan serba sedikit mengenai grafik yang hafiz pelajari setakat ini. Just intro.